IPOH: Pesalah yang disabitkan dengan jenayah curi kabel di negeri ini perlu dikenakan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran dan sempadan kepada orang lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hukuman berat itu penting bagi memberi pengajaran kepada pesalah terbabit mengenai keseriusan jenayah berkenaan yang menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat secara umumnya.

“Kita tidak boleh bertoleransi dalam perkara ini kerana mereka mencuri prasarana untuk orang ramai, ini merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

“Ia memberi kesan secara langsung kepada masyrakat, ianya keperluan orang ramai jadi saya telah memohon pihak berkuasa untuk mengenakan hukuman yang maksimum kepada pesalah-pesalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini juga kini sedang menjalankan operasi khas bagi membendung masalah curi kabel di Perak.

“Polis telah dan sedang menjalankan gerakan bagi memastikan masalah kecurian kabel di negeri ini sama ada talian komunikasi atau sebagainya dapat dibendung.

“Kelmarin mereka (PDRM) telah membuat tangkapan besar-besaran di Perak Tengah serta Manjung, saya mohon teruskan usaha ini kerana kalau dibiarkan kegiatan ini akan terus berleluasa,” tegas beliau.