PUTRAJAYA: Seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha salah sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah bagi satu projek tender kementerian itu.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun yang kini memegang jawatan Pengarah di sebuah Pusat Latihan ditahan semalam ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Beliau disyaki menerima rasuah daripada syarikat-syarikat pembekal baja yang memasuki tender membekalkan baja di kementerian terbabit. 

Difahamkan tender tersebut telah diberikan kepada tiga syarikat milik individu yang sama dengan nilai tender berjumlah RM118 juta bagi tempoh 2 tahun dari 2019 hingga 2020.

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta SPRM,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, suspek telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya dan diluluskan permohonan reman selama tujuh hari bermula 6 Oktober hingga 12 Oktober ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. -UTUSAN