Subscribe Now

Trending News

Berikan lebih peluang kepada wanita
Nasional

Berikan lebih peluang kepada wanita

KOTA BHARU 16 Feb. – Wanita UMNO Kelantan mahu lebih banyak peluang diberi kepada mereka sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding hanya dua kerusi sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Zarina Md. Eusope berkata, berdasarkan perkembangan terkini politik negeri ini, peluang calon wanita menang  lebih cerah berikutan kebarangkalian besar berlakunya pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa berkata, Wanita dan Puteri UMNO negeri ini mempunyai ramai calon berkebolehan dan mampu mengisi sehingga 30 peratus kuota daripada calon Barisan Nasional (BN)

“Pihak kami melalui Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Datin Rahimah Mahamad sudah menghantar senarai nama untuk dipilih dan kita hanya menunggu keputusan pimpinan.

“Saya harap pucuk pimpinan dapat memberi peluang untuk kami berada di barisan hadapan kerana jika kita lihat di mana-mana bahagian pun di negeri mahupun seluruh negara yang banyak melaksanakan gerakerja adalah Wanita dan Puteri,” katanya.

Pada PRU-13 yang lalu, hanya dua daripada 45 kerusi DUN diberikan kepada calon wanita iaitu DUN Pasir Pekan yang ditandingi Nik Noriza Nik Salleh dan DUN Kemahang yang ditandingi Dayang Saniah Awang Hamid.

Bagaimanapun, kedua-duanya kalah kepada calon Pas iaitu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Exco kerajaan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.

Sementara itu bagi kerusi Parlimen pula, tidak ada calon wanita yang diberikan peluang bertanding pada PRU-13. – UTUSAN ONLINE

Related posts