PUTRAJAYA: Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini berhubung berita palsu mengenai kematian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tular.

Pegawai Khas Abdullah, Datuk Jefridin Atan, yang membuat laporan polis itu berkata penyebaran berita palsu sebanyak dua kali dalam masa seminggu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hal berkaitan perdana menteri kelima. 

Menurutnya, berita palsu mengenai kematian Abdullah tular di aplikasi WhatsApp pada 2 Ogos dan  Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membuat penafian dalam satu kenyataan media namun pada 8 Ogos, tular pula di Facebook yang menyebabkan ahli keluarga dan orang awam terkejut dan kesal.

“Saya ingin memaklumkan bahawa berita yang tersebar sebanyak dua kali dalam masa satu minggu ini adalah palsu dan tidak benar di mana kesihatan Tun Abdullah berada dalam keadaan yang sihat.

Beliau sekarang ini memang kurang mengadakan aktiviti di luar kerana almaklumlah dalam usia 80-an. Tidak semua orang mempunyai kesihatan yang cukup baik seperti biasa, orang tua yang ada masa sihat dan ada masanya kurang sihat,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis berkenaan. 

Jefridin berkata pihaknya juga akan membuat laporan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

– BERNAMA