TAIPING : Pengunjung Spritzer EcoPark Taiping, dekat sini berpeluang bermain ‘salji’ secara percuma sempena program ‘Spritzer Christmas Fiesta 2019’.

Program bermula Jumaat lepas sehingga Rabu ini dari jam 5 petang hingga 9 malam.

Menurut kenyataan Spritzer, Pesta Krismas 2019 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, dengan menyediakan pelbagai aktiviti sihat bagi seluruh komuniti di Taiping.

“Selain meningkatkan kesedaran mengenai Spritzer and Spritzer EcoPark, program ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan antara sesama ahli keluarga dan masyarakat setempat, tanpa mengira agama, bangsa dan status ekonomi,” katanya.

Menurutnya, seperti tahun lalu, pengunjung Spritzer EcoPark akan dapat menikmati suasana bermain di dalam ‘salji’ pada jam 6.30 petang, 8 malam dan 9 malam secara percuma.

Selain itu, pada Rabu, kanak-kanak boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk membuat kraf-tangan menggunakan bahan kitar semula, sesi bercerita bersama kanak-kanak diikuti dengan sesi menghiasi Gingerbread cookies.
Para peminat fotografi juga mempunyai banyak lokasi untuk merakamkan pelbagai aktiviti disekitar Spritzer EcoPark. Gabungan antara alam semulajadi, aktiviti yang dijalankan dan pencahayaan yang dipasang khusus sempena acara ini, tentunya menjadi daya tarikan bagi penggemar fotografi.

Dalam waktu yang sama, para pengunjung juga boleh menikmati keindahan alam flora dan fauna di sekitar Spritzer EcoPark disamping bermain mini-golf atau menyaksikan batu berusia lebih 214 juta tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang program, pengunjung dan keluarga boleh menaiki kereta klasik dihiasi lampu LED dengan kadar RM20 bagi 10 minit.