PANTAI REMIS: “Banjir kali ini memberikan pengalaman baharu kepada saya kerana bukan sahaja berpantang buat kali pertama di pusat pemindahan, malah berpindah ketika bulan puasa,” kata Suhaili Mokhtar.

Suhaili, 38, yang baru 18 hari melahirkan anak keempatnya, Muhamad Firash Amsyar Ramli adalah antara 48 orang daripada 12 keluarga di Kampung Padang Serai yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, di sini, sejak Ahad lalu.

Beliau berkata biarpun agak kekurangan berpantang di pusat pemindahan, dia gembira melihat kemeriahan berpuasa di situ bersama penduduk kampung yang bergotong-royong menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

“Penduduk (mangsa banjir) bergotong-royong memasak juadah berbuka serta sahur dan kemeriahannya sangat dirasai mungkin kerana ketika ini bulan Ramadan dan ini kali pertama kami berpindah ke sini pada bulan puasa.

“Bagi saya sukar juga berpantang di sini dan sejak berpindah ke pusat pemindahan suami akan pulang ke rumah untuk memasak menu untuk orang berpantang dan membawanya ke sini.

“Saya harap petang ini kami dapat pulang ke rumah kerana air sudah mulai surut,” katanya ketika ditemui di SAR Padang Serai, Pantai Remis di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Fazilah Faidz, 47, berkata, paras air yang naik di kawasan rumah sehingga memaksa dia dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan dianggap sebagai dugaan pada Ramadan kali ini.

Beliau berkata biarpun begitu ia memberikan pengalaman baharu dan manis kepada mereka yang sebelum ini tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan pada bulan puasa.

“Kami bergotong – royong menyediakan juadah berbuka dan bersahur bersama-sama dan mula memasak untuk berbuka pada jam 4.30 petang manakala seawal jam 3 pagi kami sudah mula memasak untuk sahur.

“Walaupun kadang-kadang menu agak ringkas, ia menyelerakan apabila makan beramai-ramai, malah waktu bersahur selalunya di rumah kurang berselera, namun di sini jadi berselera mungkin kerana suasana yang meriah dan ramai rakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Manjung, Leftenan (Pertahanan Awam) Shamsur Shahuddin berkata, setakat ini keadaan di kampung berkenaan terkawal.

Katanya, APM akan memastikan keadaan di kawasan terbabit selamat sepenuhnya sebelum penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing biarpun ada beberapa kawasan air sudah surut.

“Hujan lebat berterusan pada Ahad, lalu menyebabkan paras air Sungai Beruas naik dan menyebabkan benteng sungai pecah sehingga membanjiri kawasan kira-kira 12 rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini – berita harian