SLIM RIVER: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan membincangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) berhubung pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai seorang daripada naib presiden.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam EGM yang akan diadakan nanti bagi membincangkan pelbagai perkara untuk memperkukuhkan parti.

“Kita akan bincang perkara itu (pelantikan Azmin) dalam EGM yang kita rasakan sesuai diadakan bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU (nanti),” katanya selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini, hari ini.

Turut hadir Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Azmin yang menyertai BERSATU secara rasmi semalam dan dikatakan akan dilantik sebagai naib presiden parti.

Pada pemilihan semalam, tiga Naib Presiden yang dipilih ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Ahmad Faizal berkata EGM itu juga akan membincangkan mengenai pindaan perlembagaan parti dalam usaha untuk menarik lebih ramai ahli bukan Melayu dan Bumiputera menyertai BERSATU.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai Timbalan Presiden BERSATU, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

“Saya kira bernasib baik kerana ada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang amat disegani ahli dan rakyat …saya juga ada banyak “abang”, pemimpin (berpengalaman dalam parti) yang boleh beri nasihat,” katanya.

Ketika diminta mengulas isu yang dipermainkan pembangkang selepas beliau mengaku anak angkat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Faizal berkata, beliau banyak terhutang budi kepada bekas perdana menteri itu termasuk daripada segi didikan dalam dunia politik.

Sementara itu, Peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar, yang terbabit menggubal Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019), berkata ketika ini tiada peruntukan untuk naib presiden dilantik.

Sehubungan itu, katanya, pindaan perlembagaan berhubung perkara itu perlu diluluskan dalam EGM bagi membolehkan ada jawatan naib presiden dilantik.

Katanya, EGM itu juga mungkin meminda perlembagaan parti bagi membuang jawatan pengerusi. – BH