PASIR SALAK, 3 DIS – Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan pelbagai cara untuk memancing ahli UMNO menyertai parti itu, termasuk menawarkan wang ringgit, projek dan jawatan.

Menurutnya, perkara itu berlaku kerana Bersatu mungkin tidak dapat mengelakkan untuk bertembung dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, beliau berharap ahli-ahli UMNO di semua peringkat supaya bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 yang dakwanya akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya harap kita kekal berjuang, nilai perjuangan kita tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, apa ada pada wang ringgit, seratus dua ratus ringgit, seribu ringgit,.

“Yang kita hendak ialah perjuangan ini menegakkan agenda untuk membela anak cucu kita di masa yang akan datang, pelajaran, ekonomi dan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai, pada Ahad.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Bersatu agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tindakan itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama kedua parti berkenaan akan kekal sekiranya perkara sedemikian masih berlaku.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Tegasnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali selain menyifatkan ia adalah tuduhan liar tanpa bukit yang kukuh.