KOTA KINABALU: Pelantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai satu daripada tiga naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini membuktikan parti berkenaan terbuka dan mengiktiraf Bumiputera bukan Islam di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar, berkata keadaan itu diterjemahkan menerusi jumlah undi yang diterima Ronald dalam pemilihan di peringkat pusat.

“Ronald yang juga Ketua BERSATU bahagian Beluran, Sabah telah mendapat undian tertinggi, dengan sejumlah 84 peratus undian.

“Seramai 19,594 daripada 23,438 perwakilan di seluruh seluruh negara telah memilih beliau sebagai seorang daripada tiga naib presiden.

“Pemilihan Ronald yang berasal daripada rumpun kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) adalah citra keterangkuman perjuangan BERSATU yang inklusif untuk semua bangsa pribumi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairul berkata, pemilihan orang muda menjawat jawatan ketiga tertinggi dalam parti itu juga membuktikan BERSATU turut mengiktiraf golongan terbabit menjadi sebahagian kepimpinan tertinggi dalam parti itu.

Ini jelas menerusi pemilihan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu, Melaka sebagai seorang daripada tiga naib presiden.

Pihaknya juga turut mengalu-alukan kemenangan Dr. Radzi Jidin selaku Ketua BERSATU Bahagian Ketereh, Kelantan sebagai salah seorang naib presiden di mana ia memperlihatkan keterbukaan akar umbi kepada golongan profesional yang menjadi komponen penting dalam parti.

Pada pemilihan kelmarin, tiga Naib Presiden yang dipilih ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. – BH