KUALA LUMPUR : Bersatu Johor menafikan khabar angin bahawa Sahruddin Jamal akan meletakkan jawatan selaku menteri besar negeri itu.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri berkata dakwaan Sahruddin akan meletak jawatan kerana gagal menangani isu pencemaran Pasir Gudang hanya khabar angin yang tidak sepatutnya dipercayai.

Sebaliknya, Mohd Solihan berkata Sahruddin telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berintegriti termasuk menerima sokongan daripada semua pihak dalam menjalankan tugas.

“Kerajaan negeri telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dengan meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang sewajarnya dalam setiap tindakan serta perancangan.

“Kerjasama baik juga diperoleh daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani isu-isu semasa termasuk isu pencemaran gas di kawasan Pasir Gudang,” kata Mohd Solihan dalam kenyatannya hari ini.

Semalam laman Facebook Ops Johor memuat naik satu hantaran bertajuk ‘MB Johor akan lepaskan jawatan?’ dengan dakwaan kegagalan Sahruddin menguruskan pencemaran di Pasir Gudang menerima tekanan pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini.

Justeru, Mohd Solihan mengingatkan pembangkang supaya tidak mengambil kesempatan terhadap setiap masalah yang berlaku di Johor dengan menjadikannya isu politik.

“Sedangkan sebahagian besar masalah itu berakar dan berpunca daripada kesilapan dan kealpaan mereka sebelum ini,” katanya.

Mohd Solihan berkata Bersatu Johor tidak akan menyerahkan masa depan negeri itu kepada pihak yang sengaja menjadikan isu-isu terpencil sebagai alat menghilangkan keyakinan rakyat kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat.