TANJUNG MALIM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Perak menghantar kira-kira 800 petugas untuk membantu sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kekuatan itu dikumpul daripada seluruh 24 bahagian di seluruh negeri.

Menurutnya, jumlah itu termasuk 300 anggota Armada Bermotor dan 300 anggota Srikandi Perayu Undi demi membantu jentera Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya itu.

“BERSATU Negeri Perak mula menghantar Petugas ke semua 13 pusat daerah mengundi (PDM) dari 23 hingga 29 Ogos. 23/8/2020, setelah selesai Persidangan Pemilihan bahagian-bahagian BERSATU Perak pada 22 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, BERSATU secara berterusan juga meletakkan ahli-ahli daripada seluruh negeri bagi membuktikan komitmen yang telah dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“BERSATU Perak mengucapkan terima kasih kepada urusetia BERSATU di PRK Slim yg dipimpin oleh Ketua Bahagian Tanjung Malim, Amran Ibrahim, juga kepada semua pemimpin bahagian, sayap Srikandi dan Armada,” ujarnya.

Katanya, walaupun sepanjang kempen terdapat kenyataan provokasi oleh beberapa pemimpin UMNO tetapi ianya tidak sedikitpun melemahkan dan menjejaskan semangat petugas-petugas BERSATU.

Bahkan, kata Zainol, kehadiran mereka turut diterima oleh seluruh Jawatankuasa PDM BN.

“Jentera BERSATU telah hadir beramai-ramai membantu dengan Ikhlas bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon nombor 2 dari BN,” kata beliau.