KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mensasarkan sekurang-kurangnya 1 juta keahlian menjelang akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin berkata perkara itu dilihat tidak mustahil kerana setakat ini, keahlian Bersatu sudah mencecah setengah juta.

“Kita ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali yang telah menyertai parti kita.

“Kalau ini berterusan, jangan risau dengan propaganda pihak lain kerana yang penting adalah keikhlasan perjuangan kita,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-4 Bersatu di ibu negara, pada Selasa.

Hamzah dalam pada itu menafikan 70 peratus ahli sudah meninggalkan parti itu untuk menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat semalam, hanya 247 ahli yang menyatakan mahu keluar parti.

“Jumlah itu sangat sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah 500,000 ahli yang kita ada,” tambahnya.