IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Lembaga Disiplin parti berhubung video tular Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian yang dipercayai berkempen untuk calon Bebas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Katanya, Jawatankuasa Disiplin parti terlebih dahulu perlu menyiasat dan memanggil Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita ada mendengar dan melihat viral video yang menunjukkan Datuk Osman Sapian memberi sokongan kepada calon Bebas di DUN Slim.

“Tentunya masalah dan perkara seperti ini jika dilakukan oleh ahli daripada sesebuah parti itu perlu dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin dan sebagainya.

“Jika ada laporan berkenaan dengan perkara itu Jawatankuasa Disiplin perlu menyiasat dan memanggil beliau untuk memberikan keterangan, beliau akan dipanggil dan apa bentuk tindakan yang diberikan terletak pada Jawatankuasa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Pejabat Menteri Besar, di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas video tular seja Sabtu lalu yang menunjukkan Osman dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK DUN Slim.

Dalam video itu, Osman mengakui masih ADU Kempas atas tiket Bersatu dan ahli Bersatu namun mendawa parti tersebut telah menyeleweng daripada perjuangan asalnya.