IPOH: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) bukan hanya tertakluk kepada keputusan Presiden parti semata-mata, tetapi adalah hasil perbincangan bersama akar umbi.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan itu dilihat turut memberi impak positif kepada ahli di peringkat bawahan, tidak kira dari parti UMNO, Pas dan Bersatu.

“Kami membuat keputusan melalui pucuk pimpinan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, bukan Presiden buat keputusan sendiri tetapi semua telah berbincang dan membuat keputusan bersama.

“Yang jelas pucuk pimpinan UMNO telah pun menjemput parti Bersatu untuk bersama dengan Muafakat Nasional itu yang saya kira lebih penting di dalam satu-satu organisasi itu.

“Orang ramai secara umum seronok mendengar cerita bahawa parti yang mewakili Melayu ini bergabung.Tentunya ada pihak yang tidak berapa suka itu sebenarnya tidak mahukan penggabungan ini berlaku atas sebab tersendiri.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada keputusan Bersatu menyertai Muafakat Nasional merupakan keputusan majoriti atau hanya dibincang di peringkat  parti.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian dan Penyerahan Kit Bumi Hijau Peringkat Daerah Batang Padang di Tapah pada Jumaat.

Sabtu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional.

Dalam laporan media, dia memetik sebagai berkata beliau percaya penyertaan dalam Muafakat Nasional adalah pilihan terbaik untuk pari itu kerana berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.