KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa supaya Parlimen dibubarkan dan membiarkan rakyat memilih parti atau gabungan yang mereka mahukan sebagai kerajaan selama lima tahun.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 berkata, gabungan itu tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan kerana ia bertentangan dengan semangat demokrasi.

“Demokrasi adalah berkenaan memberi peluang kepada parti politik yang berbeza ideologi untuk melawan sesama sendiri bagi mendapat hak untuk mentadbir dan melaksanakan polisi berdasarkan ideologi mereka.

“Mereka berusaha keras memenangi undi dengan mengetahui sekiranya gagal mentadbir, mereka akan ditolak pada pilihan raya. Membentuk kerajaan perpaduan juga bermakna tidak akan ada pembangkang kepada kerajaan.

“Tidak akan ada parti yang akan membuat semak dan imbang yang berkesan bagi mempertanggungjawabkan kerajaan. Rakyat juga tidak akan ada alternatif kepada siapa yang akan mewakili mereka,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

BERSIH 2.0 juga menyatakan risiko kerajaan perpaduan adalah ia boleh menjadi kleptokratik di mana semua parti menjalin tangan untuk memperkayakan diri sendiri dengan ditanggung oleh rakyat.

“Senario ini tidak boleh dibiarkan untuk berlaku. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) masih belum dapat menentukan siapa yang mempunyai majoriti di Parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka kami menggesa baginda membubarkan Parlimen dan membiarkan rakyat memilih parti atau gabungan yang mereka mahukan sebagai kerajaan selama lima tahun,” katanya.