Oleh: Nazialita Geynna Maharan

CHEMOR: “Dua tiga hari sebelum arwah pergi, sikapnya berubah, daripada seorang yang periang bertukar menjadi pendiam, mungkin itulah petanda abang akan pergi selamanya,” kata Nur Shaheera Mohd Shoib.

Nur Shaheera, 16, ialah adik kepada Mohammad Safuan Mohd Shoib, 19, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan motosikalnya dan sebuah lori satu tan di hadapan Sekolah Rendah Islam Al-Ummah, Chepor pada pagi Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengahari semalam, Mohammad Sofuan dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum motosikalnya ditemui terperosok di bawah lori tersebut.

Menurut Nur Shaheera, abang sulungnya itu menunjukkan perubahan sikap dan agak berlainan daripada kebiasaan.

Katanya, dia tidak menyangka perubahan itu merupakan tanda-tanda abang kesayangannya itu akan menemui ajal.

“Arwah merupakan seorang abang yang garang dan bising di dalam keluarga, cuma kebelakangan ini, allahyarham berubah sikap, dia lebih banyak mendiamkan diri.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana abang demam pada hari kejadian dan pada kebiasaannya apabila abang demam, dia akan lebih banyak diam,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut Nur Shaheera, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan yang meragut nyawa abang sulungnya itu apabila rakan allahyarham datang ke rumah dan memaklumkan mengenainya.

“Saya menelefon emak untuk memberitahu perkara itu, itu sahaja,” katanya lagi.

Nur Shaheera berkata, ketika kejadian, abangnya dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual gajet telefon di Meru.

Ketika ditanya mengenai abangnya, dia berkata, allahyarham merupakan seorang yang garang namun gemar mengusik adik-adiknya yang lain.

“Tiada apa yang pelik sebelum kejadian yang meragut nyawa abang, cuma selalunya abang akan melawak di dalam rumah.

“Saya pasrah, ini ajal abang. Mak dan ayah mana yang tak sedih, tetapi sudah ketentuan Allah dia pergi dahulu,” katanya lagi.

Mohammad Safuan terlibat dalam kejadian kemalangan apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya terperosok di bawah sebuah lori dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada pukul 11 malam tadi.