IPOH: Bilangan rumah yang terjejas ekoran hujan lebat berserta ribut di beberapa kampung dan kawasan perumahan di sekitar Ipoh pada Sabtu, meningkat kepada 362 buah.

Sebanyak 91 buah rumah rosak di Kampung Sri Klebang, 86 di RPT Chepor Dalam: 65 di Taman Bertuah dan 120 buah rumah lagi di Taman Klebang Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, kebanyakan rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian atap dan Yayasan Perak diberi tanggungjawab untuk memperbaiki kerosakan dengan segera.

“Insya Allah selepas selesai perlantikan kontraktor apa semua, Yayasan Perak akan mula membuat kerja-kerja pembaikan di atas rumah-rumah yang terkesan.

“Manakala daripada segi Pejabat Daerah, kita akan memberi bantuan wang ehsan bencana kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui ketika melawat Pusat Gelandangan Sementara di Arena Badminton Ipoh di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi mendapatkan bantuan wang ehsan bercana, pihaknya memerlukan laporan polis, salinan kad pengenalan dan gambar-gambar kerosakan.

Pada Sabtu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat lokasi yang terlibat menganggarkan lebih 100 rumah terjejas teruk dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Haliza menjangkakan kerja-kerja baik pulih rumah yang terjejas akam dimulakan minggu hadapan selepas pihak Yayasan Perak membuat penilaian dan melantik kontraktor.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga akan meminta pihak Jabatan Kerja Raya untuk mengkaji struktur menara di masjid yang condong, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.