IPOH: Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) memperuntukkan RM1.14 juta kepada 22, 873 penerima di Perak yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan anak yatim dalam Jelajah UMNO Bantu Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Pengerusi BIKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata semua bantuan itu telah diserahkan kepada wakil masing-masing di peringkat Parlimen untuk diedarkan kepada golongan sasaran.

Menurut beliau, program berkenaan yang masuk tahun kedua bertujuan membantu di samping membuktikan bahawa UMNO amat prihatin dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

 

nasarah-zambry 2“Kita juga nak maklumkan bahawa sumbangan yang disampaikan ini akan terus dilaksanakan selain ia dilihat sebagai satu pendekatan untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di semua peringkat,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah UMNO Bantu Rakyat di Kampung Sungai Rapat, di sini pada Sabtu malam.

Perak merupakan lokasi ketiga yang dijelajahi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Konvoi jelajah akan meneruskan penjelajahan ke Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Sabah sebelum dijadual berakhir di Terengganu pada 1 Jun depan.

Menurut Shamsul Anuar, fasa pertama itu melibatkan 21 lokasi manakala fasa kedua yang bermula selepas Hari Raya Aidil Fitri akan melibatkan 50 lokasi lagi.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan kotak makanan keperluan harian dan wang tunai kepada 500 penerima di Parlimen Gopeng sebelum melepaskan konvoi jelajah.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kasim mengucapkan terima kasih kepada BIKUM kerana memilih bahagiannya sebagai lokasi pelancaran di Perak.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Dr Zambry kerana sudi hadir dan menyampaikan bantuan kepada penerima,” ujarnya.