PONTIAN: Barisan Nasional berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan dengan majoriti besar 15,086 undi.

Pegawai Pengurus Suruhan Pilihan Raya (SPR), Zulkifly Mohd Tahir mengumumkan Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Zulkifly berkata, 595 undi ditolak dan peratusan keluar mengundi selepas semua 27 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi ialah 74.5%.

Wee yang juga ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, sebelum tewas kepada Md Farid Md Rafik daripada PPBM dengan majoriti 524 undi.

Ini adalah kemenangan keempat BN daripada sembilan PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

BN sebelum ini menang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri Semenyih dan Rantau.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Farid pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.