IPOH: Calon-calon Barisan Nasional yang terpilih untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum14 (PRU-14) akan dimaklumkan lebih awal bagi memberi mereka masa membuat persediaan rapi daripada segi mental dan emosi.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai pengumuman awal BN baru-baru ini berkata ianya juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang elemen kejutan untuk kesemua calon lama dan baru di Perak bagi PRU kali ini.

Katanya, BN Perak juga telah menghubungi sebahagian daripada calon baru dan muka-muka yang bakal digugurkan.

“Sebahagian daripada calon-calon tersebut telah tahu, bukan semuanya kerana kita ingin mereka membuat persiapan awal, supaya mereka tidak terkejut sekiranya nama mereka digugurkan, dan paling penting adalah makluman itu dilakukan supaya mereka bersedia secara mental dan emosi,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Akademi Memandu T- City (Ipoh), Gopeng di Bandar T-City, Gopeng Industrial Park, dekat sini, hari ini.
Dr Zambry berkata BN Perak juga akan melihat dari segi potensi dan kualiti seseorang calon di dalam PRU kali ini dan bukannya berdasarkan kuota samada calon baru atau lama bagi menentukan pemilihan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata kesemua calon telah dikenalpasti dan bakal diumumkan pada masa yang sesuai.

“Seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ianya bukanlah merupakan satu-satunya pendekatan, kita perlu melihat persiapan secara keseluruhannya, mungkin ada calon yang sedia maklum.

“Kita akan umum pada masanya, dan bukan disebabkan kita ada masalah, bukan, ini adalah bertujuan untuk kita mempersiapkan calon-calon itu, sebelum nama mereka diumumkan sebagai calon, itu adalah penting, persiapan awal,”katanya lagi.