IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak yakin dapat menambah bilangan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-14 kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata keyakinan itu adalah berdasarkan persiapan taktikal dan strategi kemenangan yang telah dirancang kemas BN Perak.

Menurutnya jangkaan itu turut bersandarkan kedudukan parti pihak pembangkang menampakkan kepincangan dari segi konflik dalaman dan perpecahan politik kebelakangan ini.

“Tentunya kita mempunyai strategi perancangan agar bilangan (kerusi) yang ada nanti akan menjadi lebih tinggi, lebih banyak daripada bilangan yang ada sekarang, itu adalah perkara yang nyata.

“Kita kena bekerja, untuk memastikan supaya kemenangan berpihak kepada BN untuk membentuk kerajaan, dan yang kedua untuk memastikan jumlah kerusi yang ada sekarang akan bertambah kita perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan ini dicapai,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Ketika ditanya jumlah bilangan pertambahan kerusi yang bakal dimenangi BN, Dr Zambry yang juga Menteri Besar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Kita kena faham, (dalam PRU yang lepas), kita bukan hanya menang di bawah 1,000 undi tetapi kita juga ada kalah di bawah 1,000 undi.

“Dengan kedudukan parti yang sekarang tengah bergaduh sesama mereka selama ini, berpecah kepada beberapa bahagian, anda boleh menjangkakan apa yang berlaku (dengan suasana itu),”ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Zambry juga sempat mengulas mengenai peluang BN Perak bagi merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang di bahagian utara negeri ini.

Beliau memberi keyakinan penuh bahawa BN Perak mampu dan mempunyai strategi kemenangan tersusun untuk kerusi Parit Buntar dan juga dua lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Bagan Serai.

Begitupun, jelasnya, BN Perak tidak hanya menumpukan kepada satu-satu kawasan.

“Bagi saya mudah sahaja, sesiapa pun boleh menyatakan hasrat mereka (untuk bertanding), tetapi apabila keputusan itu dibuat, itu adalah keputusan daripada Barisan Nasional.

“Insya Allah, kita mempunyai keyakinan dengan kedudukan yang ada di sana, dan begitu jugalah dengan kawasan lain, kerana hanya dengan memberikan tumpuan kepada satu kawasan tentunya tidak akan memberi impak secara keseluruhannya untuk kemenangan BN, untuk membentuk sebuah kerajaan,”katanya lagi.

Dalam PRU-13, BN menang 31 kerusi DUN manakala bagi kerusi Parlimen BN mempunyai 13 kerusi termasuk kerusi Parlimen Teluk Intan yang berjaya dirampas BN daripada DAP dalam pilihanraya kecil 2014.

Pakatan pembangkang menguasai 28 kerusi DUN dan 11 kerusi Parlimen.