SLIM RIVER: Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan kembali enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU Ke-14) lalu, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, berkata keyakinan itu berdasarkan komitmen dan kerja kuat oleh jentera PAS, parti komponen BN dan rakan BN yang komited menggerakkan kempen serta meraih undi.

Dalam usaha menawan semula PDM yang tewas itu, katanya, BN meminta parti komponen dan rakan BN menetapkan sasaran bilangan pengundi yang mampu menyumbang kepada kemenangan BN.

“PDM Kampung Kuala Slim antara yang BN kalah tetapi saya yakin dengan bantuan dan kerjasama rakan daripada PAS, kita boleh tawan kembali PDM terbabit.

“Bagi PDM Slim, PDM Slim Utara, PDM Pekan Lama Sungkai dan Ladang Sungkai yang ada pengundi India dan Cina, BN sudah menemui mereka bersama parti komponen dan rakan BN, serta yakin berupaya menebus kembali kekalahan PRU lalu,” katanya dalam sidang media di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Malim di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zaidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, melawat sekitar pekan dan bertemu orang ramai serta peniaga di Medan Selera, dekat pekan Slim River.

Mohd Zaidi berkata, maklum balas positif pengundi di PDM terbabit adalah isyarat jelas bahawa BN bakal menawan kembali kawasan berkenaan.

“Dengan berbaki lapan hari sebelum PRK, saya akan terus menemui seramai mungkin pengundi dan jentera dalam usaha mengekalkan kemenangan di kubu kuat BN ini.

“Jentera BN akan berkempen dengan menyampaikan aspirasi calon supaya pengundi terus memilih BN dalam PRK ini,” katanya.