Pengeluar pesawat, Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) didapati bertanggungjawab ke atas dua nahas melibatkan pesawat 737 Max yang mengorbankan 346 penumpang dan anak kapal.

Rumusan itu terkandung dalam laporan yang didedahkan Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur Kongres Amerika Syarikat selepas 18 bulan siasatan dijalankan.

Dalam laporan itu turut merumuskan dua nahas tersebut berpunca daripada kegagalan umum, kesilapan teknikal dan kelemahan pengurusan.

Di pihak Boeing, jurutera didakwa mengabaikan beberapa siri kelemahan teknikal yang dikesan pada pesawat tersebut.

Sementara itu, pihak pengurusan Boeing turut didakwa tidak bersikap telus manakala FAA pula dipercayai tidak melaksanakan kawal selia yang sepatutnya ke atas pesawat berkenaan.

Dua nahas terbabit berlaku dalam tempoh lima bulan. Nahas Lion Air di Indonesia pada 29 Oktober 2018 manakala nahas kedua melibatkan pesawat 737 Ethiopian Airlines pada 10 Mac 2019.

Kedua nahas terbabit dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi perisian kawalan pesawat dikenali sebagai MCAS.

Laporan itu juga mendedahkan Boeing dengan sengaja menyembunyikan maklumat penting daripada syarikat penerbangan, juruterbang dan pihak kawal selia.

Boeing didakwa ada pengetahuan bahawa wujud kegagalan rekaan pada pesawat 737 Max. Namun ia menggunakan pengaruh hubungan baik dengan Badan Kawal Selia untuk mendapatkan kelulusan penerbangan.

Laporan itu turut mencadangkan beberapa reformasi dan penstrukturan semula FAA berkaitan kelulusan pensijilan