KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan ada memberi kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan kelulusan sebelum menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata apa yang dinyatakan pada sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah PH tidak boleh menggunakan simbolnya sebagai bahan kempen jika status pendaftaran atau simbol PH tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR.

“Jika mereka bercadang bertanding atas tiket PKR, maka hanya simbol parti itu saja yang dibenarkan diguna semasa PRU-14 untuk tujuan kempen.

“Simbol parti lain tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen, termasuk simbol DAP, Amanah dan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ulasannya sebelum ini disalah erti seolah-olah keputusan untuk penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain untuk tujuan pilihan raya mesti mendapat kebenaran daripada SPR.

Katanya, kebenaran untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu.

Jumaat lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohmad mengumumkan di Pasir Gudang, Johor, bahawa parti komponen pakatan itu akan menggunakan simbol PKR dalam PRU-14 selepas pendaftaran gabungan tidak diluluskan oleh ROS – berita harian