IPOH – Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menyekat peniaga menjalankan perniagaan mereka pada waktu malam.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, setakat ini tiada sebarang arahan dikeluarkan mengenai perkara tersebut untuk menggalak orang ramai menunaikan solat sunat terawih.

Menurutnya, tidak ada kewajaran untuk kerajaan negeri mengeluarkan arahan sedemikian.

“Kalau kita tengok di Makkah dan Madinah pun tak ada tutup kedai semasa solat terawih. Mereka tutup kedai pun masa solat fardu sahaja.

“Nama pun solat sunat, jadi kalau kita nak galakkan orang buat solat sunat terawih melalui pendidikan dan tarbiah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan Perak berhasrat untuk melaksanakan peraturan oleh kerajaan Kelantan melalui satu surat pekeliling bertarikh 6 Mei 2019.

Setakat ini, kerajaan Perak hanya mengeluarkan arahan berkaitan larangan menggunakan imam luar negara sebagai imam tarawih di masjid dan surau seluruh Perak sepanjang Ramadan – sinar harian