IPOH: Pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) diminta berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Jan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat menghantar borang BMT di mana-mana pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) wilayah atau negeri.
Katanya, permohonan secara dalam talian boleh dibuat di http://bmt.lgm.gov.my/Home/Application; atau melalui aplikasi mobil LGM BMT yang dimuat naik daripada Google Play Store.

Menurutnya, bayaran ketiga BMT mulai dibayar pada 1 Jan lepas di seluruh negara oleh LGM dan agensi-agensi berkaitan.

“Kementerian serta LGM sentiasa memastikan pelaksanaan pemberian BMT berjalan lancar dan disampaikan kepada kumpulan sasar yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Semasa pembentangan Bajet 2017, kerajaan telah mengumumkan BMT sebanyak RM200 pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.