KOTA BHARU : Prosiding inkues selama 41 hari kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akan menjadi sia-sia sekiranya Tan Sri Tommy Thomas masih berdegil tidak meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

Pengerusi Kluster Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, Thomas sejak daripada awal lagi menunjukkan sikapnya yang ‘berat sebelah’ apabila tiada arahan pendakwaan, seterusnya dengan campur tangan dalam inkues yang prejudis terhadap kes.

Justeru, beliau berkata, janji yang dibuat oleh Thomas bahawa kertas siasatan akan diteliti dengan berhati-hati dan secara profesional hanyalah ‘sampah’ yang tidak boleh digunakan langsung hatta untuk dikitar semula.

“Semua ini berbalik kepada peranan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan juga menjalankan kuasa Pendakwaraya. Daripada awal lagi tiada arahan pendakwaan, seterusnya dengan campur tangan dalam inkues yang prejudis terhadap kes, maka apakah peranan ini sewajarnya dimainkan oleh Peguam Negara?. Maka boleh percaya ‘ke’ janji Tommy Thomas ini?.

“Atas sebab itu, mana-mana pengamal undang-undang yang mengikut prinsip kedaulatan undang-undang yang sebenar akan berpandangan bahawa Peguam Negara telah gagal memainkan peranan sewajarnya sejak dari awal kes ini.

“Maka amat bertepatan saranan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki agar Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara dan tidak lagi campur tangan dalam siasatan mahupun prosedur undang-undang melibatkan kes ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Thomas dilaporkan berkata pihaknya serius dalam mengambil tanggungjawab dan berjanji meneliti kertas siasatan polis berhubung pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib dengan berhati-hati dan profesional.

Nik Saiful Adli yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, perkara lain yang harus dilihat bagaimana pembebasan suspek-suspek kes itu dengan jaminan polis adalah suatu proses yang luar biasa terutama melibatkan kes pembunuhan.

“Bagaimana dengan usaha mengesan semula suspek-suspek selepas kematian arwah Adib? Rakyat tertanya-tanya apakah kaedah yang dibuat pihak berkuasa dalam memastikan suspek kekal berada dalam negara?.

“Walaupun jaminan polis adalah kuasa mutlak polis yang dibenarkan undang-undang, namun ianya semata-mata kerana tidak ada arahan untuk pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Tambahnya, beliau turut bersetuju supaya siasatan juga dilakukan untuk mencari dalang disebalik rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, lokasi yang meragut nyawa Muhammad Adib.

“Rusuhan kaum sebegini tidak mungkin tercetus seandainya pihak yang melakukan provokasi kepada kaum India ini bertindak secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang. Sebaliknya perbuatan membakar semangat perkauman inilah menjadi punca utama tragedi di Kuil Sri Maha Mariamman,” katanya. – UTUSAN ONLINE