IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menyelamatkan harta benda dengan nilai taksiran RM6.01 bilion sepanjang tahun lau.

Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, kerugian disebabkan kebakaran pula mencatatkan jumlah sebanyak RM59.2 juta dengan kematian seramai 17 orang.

Menurutnya, bagi kes kemalangan melibatkan kenderaan, sebanyak 871 kes dicatatkan dengan jalan bandaran paling banyak iaitu 428 kes berbanding lebuh raya iaitu 213 kes.

“Statistik lemas juga menunjukkan peningkatan pada tahun 2018 iaitu 93 kes melibatkan 33 kematian berbanding 87 kes pada tahun 2017 dengan 43 kematian.

“Bagi mengurangkan bahaya kebakaran, sebanyak 2,796 premis diperiksa pada tahun 2018 dan sebanyak 191 Notis Menghapus Bahaya Kebakaran dikeluarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2019 Peringkat Negeri Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media, Sayani berkata, pihaknya turut memperkenalkan Anugerah Ikon untuk diberikan kepada pegawai yang cemerlang dan berjaya menaikkan nama jabatan.

Menurutnya, selain itu, pengiktirafan bintang turut diberikan kepada balai-balai bomba di seluruh Perak berdasarkan kecemerlangan yang dipamerkan.

“Pengiktirafan balai bomba cemerlang mengikut bintang ini dibuat supaya wujudnya motivasi sesama ketua balai untuk mereka meningkatkan lagi prestasi balai-balai sedia ada.

“Kita ada 32 balai semua balai kita beri pengiktirafan bintang mengikut pencapaian berdasarkan kecemerlangan yang dipamerkan,” katanya.

Sayani berkata, pihaknya turut memberi pengiktirafan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya tujuh anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah kerana membantu pihak JBPM Perak menyelesaikan kes pemalsuan dokumen.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut memberikan penghargaan kepada media apabila tiga wartawan iaitu Khairl Anwar Mohd Amin dari Sinar Harian, Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi (New Straits Times Press) dan Kok Hooi San (China Press) turut menerima Sijil Penghargaan daripada Sayani – sinar harian