SERI ISKANDAR : Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang penghuni rumah dari terhidu asap tebal,akibat kebakaran yang berlaku di rumahnya di Puncak Iskandar, di sini pada Selasa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, ketika mengulas mengenai kejadian itu berkata, mangsa yang dikenali sebagai Haikal Imran Ismail, 19, berjaya diselamatkan menggunakan tangga.

“Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar terima panggilan pada 1.18 pagi hari ini tentang kebakaran rumah itu, sampai di lokasi mendapati kebakaran libatkan sebuah rumah kelas A yang terbakar musnah 10 peratus di hadapan rumah.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Nazaria yang musnah 40 peratus dan tiga buah motosikal, masing-masing musnah terbakar 90 peratus.

“Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dengan menggunakan tangga untuk keluar dari rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, anggota bertindak menggunakan satu aliran sesalur bantu mula dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Harina Abdul Wahab itu tamat kira-kira pukul 2 pagi.