KAMPAR: Seorang pendaki mengalami kecederaan ketika menyertai aktiviti pendakian di Kem Balak Kampar dekat sini, malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.16 pagi ini.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati seorang wanita berusi 37 tahun mengalami kecederaan pada pergelangan kaki dan lutut ketika membuat aktiviti pendakian bersama lima rakan yang lain.

“Anggota bertindak membuat rawatan awal dan membawa mangsa turun dengan menggunakan ‘strecher’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Meor Mohammad Ali Meor Hussin tamat jam 6.12 pagi.