Saya adalah antara penduduk Gugusan Manjoi yang telah menetap selama lebih 30 Tahun di sini yang kini semakin bertambah bilangan penduduknya terutama sejak penububan sekolah agama Al-Baraqah kelolaan Datuk Ustaz Kazim Elias, penceramah yang tidak asing lagi.

Terdapat beberapa jalan utama di Manjoi. Antaranya Jalan Raja, Jalan Menteri, Jalan Rajawali, Jalan Intan, Jalan Dato’ Sagor, Jalan Tun Terang, Jalan Cempaka, Jalan Alang Ishak dan Jalan Pasar. Walau bagaimanapun, terdapat banyak jalan perhubungan yang lain yang sama penting, tetapi sempit dan pendek, yang mana menyebabkan ianya kelihatan tidak penting dan agak jarang digunakan.

Di dalam gugusan Manjoi ini terdapat belasan sub kampung. Apa yang ingin diperkatakan ialah berkenaan bonggol yang terdapat di Jalan Berlian, Manjoi Baru Tambahan yang terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk laluan kenderaan.

Seperti yang disedia maklum, tujuan bonggol adalah untuk lebih menjamin keselamatan orang awam, supaya tidak melebihi had laju ditetapkan namun jika ianya terlalu tinggi, ia boleh mengundang bahaya yang lain, malah boleh mengancam nyawa.

Dalam banyak keadaan, bonggol yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian bawah kenderaan mereka terutamanya kereta. Ia bukan sahaja merujuk kepada kereta yang sengaja direndahkan pemiliknya, tetapi juga kereta biasa yang tidak dilakukan sebarang pengubahsuaian.

Malah, jika ika dilihat pada bonggol berkenaan, terdapat lekuk-lekuk yang berpunca daripada geseran besi bahagian bawah kenderaan. Malah, warna kuning hitam pada bonggol berkenaan juga sudah lusuh dan tidak kelihatan terutamanya pada waktu malam.

Perlu diketahui juga, apakah spesifikasi saiz dan ketinggian bonggol menurut piawaian Jabatan Kerja Raya? Walaupun kelihatan agak remeh, tetapi hakikatnya bonggol yang terlalu tinggi bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan, malah boleh mengancam nyawa.

Bayangkan dalam keadaan tanda kuning hitam pada bonggol yang sudah tidak kelihatan, penunggang motosikal terutamanya orang luar yang tidak menyedari bonggol berkenaan boleh tercampak ekoran keadaan bonggol yang terlalu tinggi.

Ketinggian bonggol itu menyusahkan kerana adakalanya terpaksa menurunkan penumpang terlebih dulu bimbang kenderaan bergesel bonggol. Kami tidak membantah bonggol dibina di untuk keselamatan, tetapi biarlah ia tidak menyusahkan.

Selain itu, terdapat beberapa jalan di dalam kawasan Manjoi yang berlubang dan perlu diturap, di mana ianya juga mengundang masalah yang hampir sama, terutamanya di laluan yang sering digunakan oleh budak-budak sekolah untuk pergi dan pulang. Keperihatinan pihak berkenaan amat diharapkan.

RIDUAN

Manjoi Baru Tambahan