IPOH: Persiapan dan susunan mantap pasukan The Bos Gaurus dilihat mampu memperbaiki kedudukan pasukan bola sepak negeri di tangga teratas liga.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pada masa sama, semangat juang dan tahap disiplin yang tinggi juga menjadi syarat utama bagi merealisasikan kejayaan tersebut.

mb_bos_gaurus 4“Saya sudah menyaksikan perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan The Bos Gaurus dan ternyata kita mempunyai pemain yang berkualiti, baik pemain tempatan mahupun import.

“Dalam setiap permainan khususnya dalam konteks bola sepak, ia mencakupi semangat juang yang tinggi, mereka tidak boleh lemah dalam apa jua keadaan.

“Sebelum ini, Perak antara pasukan hampir-hampir berada dalam kedudukan tercorot tetapi kita sudah menunjukkan kebangkitan semula apabila tahun lalu sudah mencapai tempat kelima dalam Liga Super begitu juga peringkat separuh akhir untuk Piala Malaysia ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jersi Musim 2018 di Bulatan Amanjaya di sini pada Sabtu.

Yang turut sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dalam pada itu, Abdul Puhat menjelaskan, sehingga kini pihaknya masih mengumpulkan para penaja seperti Lembaga Air Perak (LAP) dan Al-Ikhsan, serta akan menganjurkan majlis meraikan penaja pada Mac depan.