PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) kini bermula di enam negeri.

Dalam tempoh 14 hari, hanya dua orang dari satu isi rumah dibenarkan keluar, itupun jika ada keperluan.

Dalam masa sama, apabila sekatan perjalanan daerah dan negeri dilakukan, setiap orang perlu duduk di rumah dan itu menuntut mereka lebih kreatif untuk hilangkan rasa bosan dan mengisi aktiviti sepanjang tempoh PKP.

Bermacam-macam cara dan hobi yang mungkin tidak pernah dilakukan boleh dipraktik di rumah bagi mengisi masa lapang, baik untuk diri sendiri juga anak-anak.

Selain sekadar tonton televisyen di rumah, berikut lima cara berlibur paling popular dilakukan ketika PKP:

1. Memasak

Kalau sebelum ini anda asyik makan di luar, semasa PKP, aktiviti memasak untuk diri sendiri atau keluarga dianggap “wajib” dilakukan.

Selain menjimatkan belanja, baik isteri, suami atau orang bujang akan dapat mengasah kepakaran di dapur; dari memasak mi segera kepada masakan ala-restoran dan hotel.

Malah, dengan bantuan resepi di Google, rasanya tiada masalah untuk menyediakan juadah yang enak buat seisi keluarga.Inilah cara berlibur paling mudah, namun memberi banyak faedah.

Percayalah, apabila tamat tempoh PKP, masakan anda boleh jadi setaraf chef profesional!

2. Group di Facebook

Apabila sudah pandai memasak, pastinya mahu berkongsi keseronokan itu buat tatapan umum.

Pelbagai group di Facebook mula diwujudkan, dan antara yang paling menghiburkan dan popular ialah group Masak Apa Tak Jadi Hari Ini yang pernah disebut Perdana Menteri dalam ucapannya.

Komen-komen lucu apabila masakan tak jadi yang dimuat naik ke group berkenaan juga sedikit sebanyak memberi keceriaan dan menghilangkan kebosanan duduk di rumah.

3. Tiktok

Aplikasi Tiktok bukan lagi asing di Malaysia dan menjadi hiburan popular semasa kebosanan di rumah sepanjang PKP.

Bukan sahaja anak muda, mereka yang berusia juga suka berhibur dengan melakukan tarian pendek, lip-sync, komedi, dan video melalui aplikasi ini.

Malah, semasa PKP fasa pertama sebelum ini, pernah dianjurkan juga pertandingan Tiktok.

Semuanya untuk memastikan semua orang duduk di rumah!

4. Berkebun

Aktiviti berkebun juga antara aktiviti popular ketika PKP di rumah.

Daripada tiada ilmu berkebun, baik lelaki mahupun wanita berminat menjadi ‘petani moden’ dengan menanam sayur atau bunga di halaman rumah.

Aktiviti ini juga mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga.

Malah, nurseri juga akan mula dipenuhi mereka yang mula berminat menceburi bidang bercucuk tanam.

5. Menghias rumah

Pastinya PKP mengehadkan pergerakan untuk keluar jauh dan rata-rata terpaksa duduk rumah untuk memutuskan jangkitan COVID-19.

Apabila sudah duduk rumah, pastinya macam-macam idea datang.Kalau sudah lama ‘memerap’ di rumah, pastinya mata mahu lihat yang indah-indah sahaja supaya hilang rasa bosan.

Kalau tidak dapat beli di luar, perhiasan rumah mungkin boleh dibeli secara dalam talian.

Malah, untuk berjimat, pastinya kedai dekorasi menjadi pilihan untuk menghias kediaman.

Atau berikan wajah baharu kepada perabot lama. Mudah bukan?

Inilah antara cara berlibur di rumah semasa PKP!

Berliburlah cara anda, asalkan duduk di rumah. – AWANI