PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan warga Vietnam kerana menangkap gamat dan cuba menyeludup diesel di perairan Kelantan, semalam.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata bot pertama bersama seorang tekong dan tiga awak-awak ditahan di kawasan 49 batu nautika dari Pantai Tok Bali pada jam 1.35 tengah hari.

Bot kedua yang dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak ditahan di lokasi 46 batu nautika dari Pantai Tok Bali pada pukul 2 petang, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata kedua-dua bot dan peralatan termasuk 50 kilogram gamat, dianggarkan kesemuanya bernilai RM800,000, dirampas dan ditunda ke jeti APMM di Tok Bali untuk tindakan lanjut.

– Bernama