KAMPAR: Masyarakat mesti membuang sikap suka menghukum bagi menjayakan program membenteras najis dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, masyarakat sebaliknya perlu bersedia menjadi pemaaf dan membantu orang kena pengawasan (OKP).

32d197d2-8de2-4c63-809b-1194856574eb

Menurut beliau, tanggungjawab membenteras dadah bukan hanya terletak di bahu kerajaan dan agensi di bawah, tetapi juga peranan semua pihak, khususnya komuniti setempat.

“Ramai daripada kita suka mengambil tugas Allah, menghukum OKP dan keluarga mereka.

“Lebih malang lagi, kadang-kadang sampai liang lahat, dah meninggal dunia pun, kita masih menghukum mereka,” katanya ketika sesi dialog sempena Program Dari Hati Ke Hati, sembang santai bersama pemimpin di C & C Kampar di sini pada Selasa.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Kampar, Datuk Abdul Talib Abdul Fahmi, Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad dan Pengarah Pengasih Amanjaya Gopeng, Badrul Hisham Datuk Ahamad.

Samsudin yang juga Pengerusi PEMADAM Perak berkata, insiden kebakaran pusat tahfiz di Keramat Ujung, Kuala Lumpur dua minggu lalu menjadi pengajaran yang cukup pahit kepada masyarakat.

Katanya, tindakan beberapa remaja belasan tahun yang terlibat dalam penagihan dadah sehingga sanggup membakar pusat tahfiz itu menuntut kepedulian masyarakat.

9fdb6cff-7850-44e0-93f6-a6a11d1613bc

Beliau turut melahirkan kebimbangan kerana sehingga Jun tahun ini, seramai 145 pelajar sekolah didapati positif dadah, berbanding kira-kira 170 orang untuk sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau juga mahu masyarakat turut prihatin walaupun tiada anggota keluarga mereka terlibat.

Pada majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa OKP yang berjaya di samping Kampung Pulai Bergading yang terpilih sebagai kampung bebas dadah daerah Kampar.

Setakat ini terdapat 211 OKP di daerah Kampar di samping 5 pelajar sekolah positif dadah yang sentiasa dipantau AADK.