Oleh: Aida Aziz

SIAPA sangka anak lebah rasanya lemak manis! Terkejut? 

Usah risau kerana kenyataan itu bukan merujuk kepada anak lebah yang baru menetas tetapi sejenis manisan yang terkenal di Daerah Perak Tengah. 

Digelar bubur anak lebah, manisan yang rasanya persis bubur caca itu sering menjadi hidangan wajib ketika perayaan dan majlis kenduri dalam kalangan masyarakat di daerah tersebut.

Melihatkan kepada proses penyediaannya, cukup memadai untuk diketahui mengapa ia hanya dihidangkan pada waktu-waktu tertentu.

Walaupun bahan-bahan untuk menghasikan manisan ini tidak banyak namun ia memerlukan kudrat untuk menguli dan menyagat adunan tepung pada alatan khas yang akhirnya mengeluarkan bentuk seakan-akan anak lebah.

Seorang pakar pembuat bubur anak lebah, Noratika Mohd Shamsuddin, 27, ketika ditemui di Kampung Gajah, baru-baru ini berkata, bahan-bahan yang diperlukan ialah tepung beras, gula, santan, air, kapur, garam, daun pandan dan penyagat.

Bentuk penyagat anak lebah unik dan diperbuat daripada kepingan zink yang ditebuk dan dilekatkan pada kayu, katanya. 

“Makanan ini banyak terdapat di Bota dan Lambor; agak susah untuk memasaknya kerana kita perlu memastikan air dalam keadaan menggelegak semasa melenyek adunan tepung pada penyagat.

“Kalau air tidak cukup panas, adunan yang disagat itu akan melekat dan berketul-ketul, lebih kurang macam buat cendol tetapi bezanya yang ini guna air panas manakala cendol pula air sejuk.

“Ada sebab juga kenapa ia dipanggil bubur anak lebah, salah satunya kerana papan penyagat ini berlubang-lubang seperti sarang lebah,” katanya kepada Suara Perak.

Cara-Cara Penyediaan

Noratika berkata, ketika masih kecil, dia mempelajari resipi tradisi itu daripada ibunya memandangkan manisan tersebut sukar ditemui di tempat lain.

“Saya belajar resipi ini daripada mak dan opah, boleh dikatakan ia menjadi resipi turun temurun tiga generasi, kalau kenduri wajib ada manisan ini,” katanya.

Beliau berkata, cara penyediaan bubur anak lebah ialah seperti berikut:

  • Mula-mula, panaskan air dan masukkan gula, biarkan air mendidih baru lah dimasukkan garam dan santan mengikut sukatan sendiri (ikut selera masing-masing).
  • Kemudian, bancuh air pandan. Masukkan satu sudu kapur makan ke dalam tepung, ambil sedikit air yang telah mendidih tadi untuk dituang pada adunan tepung.
  • Uli tepung hingga sebati, ambil papan penyagat lalu diletakkan di atas periuk; pastikan api kuat supaya doh mudah masak serta tidak melekat. Apabila isi sudah timbul masukkan santan kemudian kacau hingga masak.

Noratika berharap, makanan tradisi Perak Tengah itu dapat diperkenalkan di daerah lain di seluruh negeri dan lebih ramai mempelajari resipi unik tersebut agar ia tidak lenyap ditelan zaman.