KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak nyaris nahas selepas tercampak keluar dari kereta dinaikinya di persimpangan lampu isyarat berhampiran ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, di sini, malam tadi.

Rakaman kejadian jam 8.30 malam itu tular di Facebook (FB) selepas ia dikongsikan pengguna.

Difahamkan, mangsa tercampak keluar selepas pintu bahagian penumpang hadapan tiba-tiba terbuka ketika Perodua Axia dinaikinya membelok.

Sebelum itu, kenderaan berkenaan dikatakan berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan kerana tiada kenderaan lain di belakang kereta dinaikinya.

Mangsa yang terkejut diselamatkan seorang penunggang motosikal yang kebetulan berada di lokasi.

Bagaimanapun, identiti, jantina dan usia mangsa serta pemandu kereta berkenaan gagal dikenal pasti memandangkan tiada laporan polis dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan.

“Mungkin punca kejadian hanya disebabkan kecuaian, tiada kaitan dengan jenayah, jadi keluarga tidak membuat laporan polis,” katanya – berita harian