KUALA LUMPUR: Insiden jeti runtuh di Pulau Anak Tikus, Langkawi, yang menyebabkan 12 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) cedera, semalam, menunjukkan budaya penyelenggaraan dan keselamatan di negara ini masih di tahap rendah.

Tokoh keselamatan dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraan dan pemeliharaan jeti terbabit mesti bertanggungjawab atas kejadian itu.

“Saya bersetuju dengan pandangan Pengerusi Pro-Tem Organisasi Pelancongan Langkawi, Ahmad Pishol Ishak bahawa insiden itu sepatutnya membuka mata semua pihak mengenai keperluan penyelenggaraan semua kemudahan pelancongan di pulau itu.

“Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk industri pelancongan harus diamalkan untuk keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, sekumpulan 40 pelancong termasuk penuntut dari UMK sedang berjalan di atas jeti terbabit apabila ia tiba-tiba runtuh. Mereka baru tiba di Pulau Anak Tikus, sebuah destinasi popular yang turut dikenali sebagai Pulau Fosil.

Beliau berkata, jeti, terutamanya yang diperbuat daripada kayu, perlu diperiksa dengan kerap dan audit keselamatan pula mesti dijalankan ke atas kemudahan sedemikian yang boleh terjejas akibat penggunaan setiap hari, cuaca buruk dan air laut yang menghakis.

“Kemudahan sedemikian perlu sentiasa dipantau untuk memastikan keselamatannya.

“Jika dilihat insiden terbaru ini, ia jelas menunjukkan bahawa keselamatan serta kesihatan tidak diambil serius dan terdapat kekurangan aspek pemeriksaan dan pemantauan berterusan ke atas kemudahan pelancongan. Ia juga menunjukkan bahawa audit keselamatan tidak dijalankan secara kerap untuk memastikan struktur terbabit selamat.

“Kerajaan persekutuan dan negeri harus mengarahkan semua pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan audit keselamatan ke atas semua jeti dan kemudahan lain dan melakukan sesuatu untuk menangani budaya penyelenggaraan yang lemah. Ia mampu mengelakkan insiden atau kemalangan yang boleh dicegah,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak berkuasa yang berkaitan juga perlu sentiasa berjaga-jaga dan memeriksa aspek keselamatan kemudahan di bawah bidang kuasa mereka.

“Insiden terbaru ini adalah disebabkan kecuaian mereka yang bertanggungjawab untuk aspek penyelenggaraan dan pemeliharaan jeti. Ia adalah insiden yang tidak seharusnya berlaku dan sebenarnya boleh dielak.

“Justeru, mereka yang terbabit dalam industri pelancongan harus mengamalkan pengurusan dan amalan KKP yang baik untuk mengurangkan bilangan kemalangan dan masalah kesihatan di dalam sektor terbabit,” katanya – berita harian