IPOH: Kerajaan negeri dicadangkan supaya mentransformasikan kebudayaan tradisional ke dalam bentuk digital bagi membina jambatan di antara kedua-dua budaya tersebut.

Perwakilan Dewan Belia Perak, Natasya Mohd Adnan berkata, transformasi itu boleh digerakkan dengan program khas bagi melatih serta mendidik golongan belia menghasilkan teknologi digital.

Beliau berpendapat, sudah sampai masanya kerajaan negeri mengambil serius dalam menangani konflik antara budaya tradisional dan budaya moden dengan langkah luar biasa.

“Kita boleh melatih mereka dengan penghasilan teknologi digital seperti aplikasi serta permainan video,” katanya ketika membentangkan usul bertajuk Mentransformasikan Kebudayaan Tradisional Ke Dalam Bentuk Digital di Persidangan Dewan Belia Perak.

Ujarnya, setiap kumpulan atau sub-kumpulan di negara ini mempunyai bahasa dan budaya tersendiri di mana elemen unik itu boleh diserapkan ke dalam bentuk permainan aplikasi dan video.

“Antara elemen yang boleh diterapkan ialah sejarah, senibina, pakaian, sukan, nilai serta kebudayaan.

“Sebagai contoh di dalam permainan video Final Fantasy XV pada tahun 2016, terdapat elemen budaya Malaysia menerusi karakter utamanya yang makan roti canai, nasi ayam dan teh tarik.

“Tahniah diucapkan kepada anak Malaysia iaitu Wan Hazmeer yang menjadi ‘Lead Game Designer kebudayaan dalam permainan itu,” katanya.

Jelasnya lagi, penekanan lebih menjurus kepada aspek aplikasi dan permainan video kerana ia berbeza dengan bentuk filem, animasi dan muzikal selain mudah difahami menerusi konsep interaktif.