Puchong: Kejadian aneh beberapa ketulan buih sebesar kereta yang bergolek di atas jalan sekitar kawasan Bandar Kinrara Seksyen 3, di sini, sejak Isnin lalu, sebenarnya terhasil daripada campuran air di dalam parit dengan bahan kimia dari kilang pewangi udara dan syampu yang terbakar awal Mac lalu.

Sejak Isnin, penduduk gempar dengan fenomena ‘buih terbang’ dan ketulan buih besar bergolek di atas jalan raya pada waktu pagi sehingga ada penduduk yang berkumpul pada waktu pagi untuk bergambar bersama buih berkenaan.

Penduduk, Wong Kin Nam, 70, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan taman perumahannya dan buih berkenaan turut mengeluarkan bau busuk yang boleh menyebabkan sakit kepala apabila terhidu.

“Kejadian itu mengejutkan penduduk setempat tambahan pula ketulan buih itu bergolek di atas jalan raya sehingga ada buih yang melekat pada kereta yang diletakkan di tepi jalan.

“Membimbangkan, kulit akan menjadi gatal apabila terkena buih itu dan ia berbahaya kepada kanak-kanak jika bermain dengan buih itu,” katanya ketika ditemui di Bandar Kinrara 3/2, semalam.

Menurutnya, ketulan buih itu akan hilang dan hanya boleh dilihat dalam parit di kawasan taman itu apabila matahari sudah mula meninggi.

Tinjauan Harian Metro bersama Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14, Lawrence Chiew mendapati buih yang terhasil adalah campuran bahan kimia dengan air dari saliran longkang dari kawasan berdekatan.

Selepas diteliti, bahan kimia itu berpunca daripada kilang pembotolan pewangi udara dan syampu yang terbakar pada 4 Mac lalu, menyebabkan cecair kimia yang bercampur itu mengalir ke longkang terus ke parit sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusi JPP Zon 12, Zaulkefli Ahmad berkata, perkara itu perlu dibendung segera bagi mengelakkan pencemaran yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

“Parit ini mengalir sehingga ke Sungai Kuyoh dan Sungai Klang. Secara tidak langsung ia boleh mencemarkan sungai dan bekalan air yang mampu memudaratkan manusia.

“Meskipun aduan sudah dibuat sejak kelmarin, saya akan menekankan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya sedia maklum berhubung perkara itu dan siasatan di tapak kilang sedang dibuat.

“Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPSJ mengesahkan bahawa punca buih di Bandar Kinrara 3/2 berpunca dari kilang pewangi dan syampu yang terbakar di taman perindustrian berdekatan.

“Walaupun pengurus kilang menafikan terdapat kimia berbahaya yang mengalir ke longkang, pihak majlis tetap memanjangkan isu ini kepada agensi berkaitan iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.