TANJUNG MALIM: Pengunjung taman tema dinasihatkan supaya membuka gelang merah jambu yang dipakai sebaik sahaja keluar daripad kawasan taman tema.

Ini kerana gelang itu hampir sama dengan yang dipakai mereka yang dibawah pengawasan (PUS) dan kehadiran mereka di tempat-tempat awam boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka seharusnya lebih peka dengan sensiviti orang ramai mengenai pandemik COVID-19.

“Apabila kita ada tag daripada taman tema yang berwarna merah jambu, bukalah sebelum kita pergi ke tempat lain.

“Baru-baru ini kita dapati ada lagi satu kes orang tular di laman sosial mengatakan orang yang sepatutnya dalam pengawasan telah berada di restoran.

“Setelah disiasat, rupa-rupanya dia baru pulang daripada taman tema, masih belum membuka tag taman tema tersebut, ini mendatangkan kegelisahan di kalangan orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Rumah Ngaji Hospital Slim River, dekat sini, hari ini.

Pada Rabu, tular di dalam media sosial seorang wanita kelihatan memakai gelang merah jambu makan di sebuah kedai makan di Fair Park, Ipoh sehingga Jabatan Kesihatan Negeri membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz kemudiannya mengesahkan gelang merah jambu yang dipakai wanita itu, sebenarnya dari sebuah taman tema.

Menurutnya, wanita itu bukan individu di bawah pengawasan seperti yang disangkakan sesetengah pihak.

Dalam hubungan ini, Ahmad Faizal berkata, orang ramai juga perlu mengambil berat perkara-perkara seumpama itu, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.