SERI ISKANDAR – Isu berkaitan Prebet Adam tidak sesuai ditimbulkan ketika ini kerana ia sudah lama berlaku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu tidak sepatutnya ditularkan kerana isu berkenaan sudah selesai.

Menurutnya, isu itu memerlukan fakta yang kukuh sebelum dapat diulas.

“Sekarang bukan masa sesuai untuk timbul isu ini dan ia banyak menimbulkan spekulasi,” katanya ketika ditemui semasa Fit Masjid Fun Ride di masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah Seri Iskandar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan akhbar semalam berhubung kenyataan keluarga Adam melalui adiknya Hawa Jaafar, 53, yang meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu yang berterusan menyampaikan perkara tidak benar mengenai isu itu.

Insiden Prebet Adam kembali mendapat perhatian media setelah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangkitkan isu itu dalam kenyataan baginda menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, 7 April lalu.

Prebet Adam Jaafar dilaporkan mengamuk dan bertindak melepaskan tembakan rambang dengan senapang M16 di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan seorang lelaki terbunuh.

Dalam kejadian itu, ada yang mengaitkan kerabat diraja Johor yang dikatakan menjadi punca Prebet Adam mengamuk.

Semalam, Hawa Jaafar,53, adik perempuan Prebet Adam memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden amukan abangnya.

Menurut Hawa, abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja.

Katanya, insiden berkenaan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor – sinar