KUALA LUMPUR: Sebuah kereta jenis Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Len Sen pada jam 8.30 malam tadi bukan disebabkan oleh runtuhan konkrit seperti yang ditularkan oleh beberapa media.

Sebaliknya Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya memaklumkan, kejadian disebabkan oleh rempuhan kren dari belakang kereta berkenaan.

“Siasatan mendapati, semasa pemandu telah belok ke kiri untuk masuk ke jalan Len Sen daripada Cheras, pemandu telah dilanggar daripada belakang oleh sebuah kenderaan dipercayai sebuah motokar kren yang sedang bergerak lurus di Jalan Len Sen.

“Akibat kemalangan, bahagian depan penyangkut kren telah melanggar bumbung kereta dan pemandu telah tersangkut di dalam kereta.

“Pemandu kereta yang berusia 50 tahun kemudian dikeluarkan daripada kereta dengan bantuan pihak bomba.

“Akibat kemalangan tiada sebarangan kecederaan dialami oleh pemandu dan tiada sebarang serpihan objek ditemui dalam kereta,” jelas beliau.

Zulkefly pada masa sama menambah bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kren tersebut setakat ini.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa terdapat satu lagi kejadian runtuhan konkrit atau serpihan besi yang berlaku di kawasan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Len Seng, Cheras.

Ia ternyata memberikan kebimbangan kepada orang ramai terutama yang menggunakan laluan tersebut.

Sebelum ini, pihak Astro AWANI turut mendapatkan respon daripada pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), namun jurucakapnya menjelaskan kerja-kerja pembinaan telah pun dihentikan serta-merta.