GEORGETOWN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman merampas heroin bernilai RM753,000 hasil serbuan dua makmal dadah di sekitar Pulau Pinang, Rabu lalu.

Serentak itu, lapan individu termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 41 tahun ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata ia hasil lima serbuan berasingan di sekitar Butterworth, Nibong Tebal dan Air Hitam dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya merampas 23.14 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, 65.32 kg serbuk putih disyaki dadah dan 2.3 kg cecair disyaki dadah.

“Kita turut menyita empat kenderaan dan empat motosikal serta merampas wang tunai RM36,878,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian