IPOH – Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan komited melaksanakan segala yang terbaik buat negeri ini dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama namun tidak akan sesekali menjanjikan bulan dan bintang.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata justeru kerajaan perlu memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira kepentingan rakyat supaya tindakan itu nanti tidak bersifat zalim serta merosakkan negara.

“Sekarang orang heboh bercakap mengenai janji Pakatan Harapan 100 hari di Negeri Perak. Memang kita ada manifesto tambahan tetapi tidak menjanjikan 100 hari untuk dilaksanakan seperti kerajaan pusat, kerana bila nak buat sesuatu perkara jangan sampai merosakkan negara.

“Waktu dulu kita lihat itu yang perlu kita buat tetapi bila dalam kerajaan jika buat sekarang ia akan mendatangkan bahaya pada rakyat, jadi jangan buat kerana itu zalim pada rakyat.

“Kita tak boleh jadi kerajaan yang zalim pada rakyat, kalau nak buat sesuatu perkara perlu fikir panjang tak boleh terburu-buru bukan hanya telah berjanji mesti buat hari ini juga dilaksanakan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Korban Perdana di Kampung Ulu Kuang di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal menambah setiap langkah dan tindakan perlu dilakukan secara berhati-hati dan bersedia sepenuhnya.

“Sebagai contohnya jika saya beri air percuma kepada semua rakyat negeri ini maka kita akan hilang perbelanjaan lebih daripada RM80 juta setahun.

Ini boleh menyebabkan negeri ini bankrap dan pastinya tak boleh membayar gaji pekerja serta mendirikan pembangunan maka ia boleh memudaratkan rakyat jika dilaksanakan.

“Tetapi kita sudah berjanji kita beri kepada golongan sasar pemberian air percuma bagi 25 meter padu pertama namun pemberian ini perlu digunakan rakyat sebaik mungkin jangan membazir,” katanya.

Beliau turut mengulas isu berkaitan pemberian hak milik kekal yang menurutnya memerlukan kerajaan negeri membuat keputusan secara berhati-hati dan tidak terburu-buru.

“Kita perlu berhati-hati membuat keputusan kerana kita ada tanggungjawab pada rakyat dan bangsa kita jangan membuat keputusan tergesa-gesa.

“Kalau boleh apa sahaja orang mahu, bulan dan bintang jika saya boleh capai saya bagi.

Tetapi ini satu benda yang kita tak boleh buat, jika beri pun bintang terbakar termasuk kita, ini namanya zalim,” katanya.

Beliau turut mahu kerajaan negeri berhati-hati dengan apa yang dilakukan dan mengharapkan sokongan terhadap kerajaan negeri akan bertambah supaya lebih banyak lagi perkara kebaikan dapat dinikmati rakyat.

1/5