PARIT BUNTAR: Walaupun terletak di tengah-tengah sawah bendang, warga Sekolah Kebangsaan Haji Ramli, Kedai Empat, di Tanjung Piandang, Perak tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Melihat kepada ribuan bendera pelbagai saiz yang menghiasi kawasan sekolah serta pameran hasil kreativiti murid-murid, guru-guru, kakitangan serta ibu bapa, anggaran kos mungkin ribuan ringgit.

Bagaimanapun, Guru Besar SK Haji Ramli, Nor Hayati Salleh berkata, mereka hanya berbelanja kira-kira seribu ringgit untuk menghiasi sekolah.

Menurutnya, kerja-kerja menghiasi dilakukan sebaik sahaja sekolah dibuka semula pertengahan Julai lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dengan waktu yang singkat itulah kita gunakan seluruh tenaga yang ada di sekolah untuk sama-samalah membuat apa saja yang kita boleh buat, menggunakan barang-barang yang ada di persekitaran kita.

“Contohnya pintu gerbang yang kita buat daripada buloh, buloh kita dapat daripada kampung, orang kampung beri percum,” katanya ketika ditemui selepas memberi taklimat kepada pegawai Jabatan Penerangan Perak, hari ini.

Disebabkan keceriaan itu SK Haji Ramli terpilih memasuki Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan anjuran Jabatan Penerangan dan Kerajaan Negeri Perak.

SK Haji Ramli mempunyai 160 orang murid, 13 guru dan empat kakitangan sokongan.

Selain menghiasi pekarangan sekolah, turut diadakan pertandingan kreativiti di kalangan murid-murid untuk menanam semangat patriotik di kalangan mereka.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Perak, Mohd Taip Ubah turut kagum dengan kesungguhan warga sekolah membuat perhiasan, melibatkan pelbagai pihak.

“Bukan sahaja guru-guru, kakitangan dan murid-murid yang terlibat, malah ibu bapa juga turut terlibat sama.

“Saya merasakan ini suatu yang agak luar biasa dan menarik, bermula dari pintu pagar sampailah ke dalam darjah, dataran dan kantin, habis semua sudut dihiasi.

“Kawasan sekolah dipenuhi dengan bendera dan beberapa barang kitar semula yang dibuat bendera dan potret tokoh-tokoh nasionalis, sangat mengujakan,” unarnya.

Menurutnya, sebanyak enam kategori keceriaan dipertandingkan iaitu kategori sekolah, pintu gerbang, bangunan kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan, taman perumahan dan individu.