GEORGE TOWN: Sepasang kekasih dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menjatuhkan hukuman terhadap Saravanan Kumar, 30, dan T. Gayathry, 36, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah tidak boleh menerima alibi tertuduh pertama, Saravanan Kumar bahawa tertuduh tidak berada di lokasi kejadian memandangkan tidak ada kenyataan bertulis daripada saksi.

Malah beliau turut mendapati tertuduh kedua, Gayathry yang juga ibu kepada mangsa tidak bertindak seperti sepatutnya seorang ibu ketika berdepan dengan situasi yang mana anaknya dibunuh.

Saravanan diwakili peguam by V. Parthipan manakala Gayathry diwakili peguam Gabriel Susayan.

Manakala pendakwaan di kendalikan Timbalan Pendakwaraya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Pada 13 Oktober 2014, pasangan kekasih itu didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam dekat sini atas kesalahan membunuh S. Kaviarasan yang ketika itu berumur lima tahun.

Pasangan tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ladang, Permatang Serai di Bukit Tengah antara jam 8 pagi pada 20 September dan 11.25 pagi, 29 September 2014.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ikat jamin tidak dibenarkan untuk kesalahan itu.

Kanak-kanak tersebut dikatakan dibunuh secara tidak sengaja oleh ibunya di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak di ladang sawit berhampiran Permatang Tinggi, Bukit Tengah,Pulau Pinang.

Mayat kanak kanak malang itu ditemui kira-kira sembilan hari selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Ibu mangsa ketika itu dilaporkan membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya hilang ketika bersiar-siar dekat Esplanade di George Town pada 23 September 2014.