MUAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang pekerja pemasangan jubin selepas mengaku salah membunuh teman wanitanya tanpa niat, kira-kira empat tahun lalu.

Tan Jiann Fah, 47, membuat pengakuan itu bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Halijah Abbas.

Dia didakwa menyebabkan kematian warga Singapura, Goh Poh May, 40, di Nombor 43, Jalan Saujana Bistari 2, Taman Saujana, Kluang, antara jam 12 tengah malam hingga 8 pagi, 24 Jun 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Halijah dalam penghakimannya berkata, pihaknya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di akhir prosiding pendakwaan.

Walaupun pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya, mahkamah mendapati wujud kes prima facie mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan mengarahkan kes dipinda mengikut seksyen berkenaan.

Tertuduh melalui peguamnya, S Vijayaretnam, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan berkenaan dan memohon pihak mahkamah meringankan hukuman dengan alasan mempunyai empat anak masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun terhadap tertuduh kerana kes membabitkan faktor kepentingan awam yang perlu didahului.

“Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit dengan kesalahan yang menunjukkan kes ini amat serius,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Jiann Fah bermula tarikh ditahan pada 16 September 2016 – berita harian