TELUK INTAN – Seorang buruh warga tempatan ditahan polis bersama selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri di kediamannya di Kampung Sungai Suli Dalam, Teluk Intan, 9 Ogos lalu.

Lelaki berusia 40-an itu juga dikatakan cuba melarikan diri bersama senapang berkenaan ketika diserbu kira-kira jam 1 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati senapang yang dipegang suspek senapang patah buatan sendiri.

“Polis juga membuat pemeriksaan di bangsal suspek tinggal dan menjumpai barang-barang rampasan seperti sebatang laras besi, tiga udi kayu, satu set apit G, sebuah mesin welding, sebungkus plastik lutsinar mengandungi (14) butir peluru penabur warna hijau bertulis 70 IME MEGA OOB, dan lain-lain lagi.

“Hasil semakan juga mendapati suspek memiliki sembilan rekod kesalahan lampau melibatkan dua kes jenayah dan tujuh kes narkotik,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek ditahan reman sehingga 15 Ogos ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 8A Akta Senjataapi 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya – sinar