KUALA TERENGGANU – Seorang buruh mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan menjirus air kencing ke dalam bekas kuih milik seorang peniaga di kedai makannya di Manir di sini.

Tertuduh, Mohd Hafizi Mohd Sabri, 27, didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan cara menjirus air kencing ke dalam bekas kuih yang diletakkan di atas meja menyebabkan mangsa berusia 35 tahun mengalami kerugian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi pada 23 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohinadin di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 9 November depan untuk jatuh hukum sementara menunggu fakta kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga tidak menyangka lelaki dikenalinya tergamak melakukan khianat dengan sanggup mencurahkan air kencing ke dalam bekas kuih di atas meja jualan di kedai makan miliknya di Kampung Manir di sini.

Perbuatan keji itu hanya diketahui mangsa selepas melihat tiga video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai makannya yang dikongsi adik lelakinya kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin.